(Mesej yang berikut disampaikan oleh Dikbang Watchman Nee di Shanghai pada Januari 1934, dalam Persidangan Pejayeng yang ketiga. Mesej ini diterjemahkan daripada nota yang dicatat oleh Dikbang K.H. Weigh.)
Bacaan Bible: Yoh. 1:22; 2 Ptr. 1:12
KEBENARAN YANG DIPULIHKAN PADA ABAD KEENAM BELAS
Sejak abad keenam belas, Tuhan memulihkan kebenaran yang berlainan. Abad keenam belas merupakan zaman Reformasi. Zaman itu merupakan titik peralihan yang bersejarah dalam agama. Ini tidak bermaksud bahawa tidak ada pemulihan Tuhan sebelum abad keenam belas. Walaupun terdapat pemulihan sebelum masa itu, namun mulai abad keenam belas barulah ada pemulihan yang utama. Kita perlu meninjau sejarah sejak zaman Reformasi dan membahagikannya kepada empat tempoh. Tempoh pertama ialah tempoh Reformasi. Tempoh kedua ialah tempoh selepas Reformasi, dari abad keenam belas hingga abad kelapan belas. Tempoh ketiga ialah abad kesembilan belas, dan tempoh keempat ialah abad kedua puluh kini.
Mula-mulanya, marilah kita mempertimbangkan Reformasi Luther. Ketika Luther dibangkitkan oleh Tuhan, dia melihat cahaya dan menyarankan manusia kembali kepada kebenaran dalam buku Roma. Hari ini banyak orang menilai kerja Luther dari segi politik dan beranggapan bahawa pergerakannya bersifat politik. Namun demikian, setelah saya membaca diari, penulisan, dan suratnya, saya mendapati bahawa motif dan matlamatnya adalah betul. Perkara terbaik yang dilakukannya ialah memulihkan kebenaran tentang justifikasi melalui iktikad. Inilah pemulihan Luther yang khusus. Sudah pasti, Tuhan tidak memulihkan semua kebenaran menerusi Luther. Luther hanya memulihkan kebenaran tentang justifikasi melalui iktikad. Dia tidak melakukan perubahan yang lengkap pada gereja. Sebagai contoh, dia masih mengiktiraf gereja negara dan bersetuju bahawa gereja itu kepunyaan negara. Dia tidak menerima cahaya berkenaan butir ini. Oleh yang demikian, tidak lama selepas itu, aliran Lutheran menjadi agama rasmi negara Jerman. Luther sendiri pernah mengatakan bahawa gereja tidak harus dikawal oleh politik negara. Namun dia beranggapan bahawa soal pentadbiran adalah bersifat peralihan, sementara, dan merupakan hal-hal halaman luar, bukan hal-hal Tempat Kudus. Oleh itu, dia tidak mutlak dalam hal ini. Tuhan membenarkan soal pentadbiran gereja ini kekal tidak diselesaikan pada zaman Luther. Walaupun hal ini tidak berjaya dipulihkan, namun yang pasti kebenaran tentang justifikasi melalui iktikad telah berjaya dipulihkan. Tuhan menggali kebenaran yang sudah dikebumikan ini agar muncul semula dari tengah-tengah semua tradisi, pendapat manusia, dan akidah, lalu menyebabkan kebenaran ini diketahui dan diberitakan sekali lagi. Jika seseorang dilahirkan pada zaman itu, apa yang harus dilakukannya ialah memberitakan kebenaran ini dan menasihati orang berkenaan kebenaran ini. Jika dia tidak berbuat demikian, dia tidak dapat dikira sebagai pekerja Tuhan yang setia pada zaman itu.
PEMULIHAN KEBENARAN DARI ABAD KEENAM BELAS HINGGA ABAD
KELAPAN BELAS
Kemudian kita datang ke tempoh dari abad keenam belas hingga abad kelapan belas. Pada tahun 1524, Kumpulan Anabaptis dibangkitkan di negara Jerman. Mereka ialah sekumpulan percayawan yang mendukung baptisan semula bagi orang yang pernah direnjis semasa bayi. Mereka mengikut amalan sekumpulan dikbang yang lebih awal dari Lhota, yang memberitakan baptisan percayawan. Sebelum itu, Gereja Roman Katolik dan juga Gereja Lutheran merenjis bayi. Kumpulan Anabaptis ini bukan sahaja memberitakan kebenaran tentang justifikasi melalui iktikad, tetapi mereka maju selangkah lagi dengan membaptis percayawan yang telah dijustifikasikan melalui iktikad itu. Selepas Gereja Anglikan ditubuhkan di England, kumpulan ini memberitahu orang bahawa gereja tidak harus mempunyai sebarang hubungan dengan politik. Atas sebab ini, mereka ditindas lalu dibuang negara.
Selepas dua belas tahun, pada tahun 1536, John Calvin dibangkitkan Tuhan. Dia seorang wadah yang amat berguna kepada Tuhan pada zaman itu. Setelah dia dibangkitkan, dia menghadapi penindasan di merata-rata tempat, mula-mula di Switzerland dan kemudian di Jerman. Ke mana sahaja dia pergi, dia ditindas dan diusir. Akhirnya dia mempunyai permulaan yang baru di Scotland dan menubuhkan Gereja Presbyterian Orang Scotland.
Tempoh dari akhir abad keenam belas hingga permulaan abad ketujuh belas ialah masa pembentukan Gereja Anglikan di England. Inilah permulaan gereja negara di England. Walaupun gereja ini membebaskan diri daripada pengaruh Gereja Roman Katolik, tetapi gereja ini mengaitkan diri dengan politik British. Lantaran itu, sesetengah penentang yang digelar Dissenters dibangkitkan di England. Mereka menentang agama negara dan memegang pendapat yang berbeza daripada agama negara. Mereka mengatakan bahawa gereja tidak harus berada di bawah kawalan negara; gereja dan negara haruslah mempunyai garis pemisah yang jelas. Walaupun kumpulan Dissenters ini berani menunjukkan kesilapan gereja negara, tetapi mereka tidak kembali kepada ajaran Wasiat Baru dengan sepenuhnya. Inilah peristiwa yang berlaku di England.
Pada masa itu, Tuhan membangkitkan Philipp Jakob Spener di Jerman. Dia menjadi pastor dalam Gereja Lutheran di Frankfurt pada tahun 1670. Pada masa itu, denominasi Lutheran telah jatuh menjadi sesuatu agama yang formal. Semasa membaca Bible, Spener mendapati bahawa gereja pada masa itu penuh dengan pendapat manusia, dan keadaan ini tidak dibenarkan Tuhan. Dia melihat bahawa percayawan harus kembali kepada ajaran Wasiat Baru. Oleh sebab itu, dia mula memimpin orang untuk mengamalkan 1 Korintus 14. Dalam perhimpunannya, dia mula mengajar orang menolak formaliti tradisi dan mengikut pimpinan Roh Kudus. Malangnya, amalannya tidak kekal lama.
Pada tahun 1732, perbadanan mubaligh yang terawal telah ditubuhkan, yang digelar Dikbang Moravian. Perkataan Moravian berasal daripada suatu tempat yang bernama Moravia. Mereka merupakan kumpulan orang pertama yang pergi ke seluruh dunia untuk menginjil. Dalam kalangan mereka, antara seratus orang akan adanya lapan puluh lima orang yang pergi menginjil di luar negara. Permulaan mereka dapat ditelusuri kepada seorang dikbang yang bernama Christian David. Dia dilahirukan pada umur dua puluh dua tahun. Sebelum dia diselamatkan, dia telah pergi ke banyak tempat untuk mencari kebenaran tentang penyelamatan namun tidak berhasil. Sehinggalah pada suatu hari dia menemui cara untuk diselamatkan. Selepas dia diselamatkan, dia pulang ke kampungnya di Moravia dan mula memberitakan kebenaran ini dengan berani. Tuhan melakukan kerja yang besar menerusinya. Berikutan kepulihbangkitan ini, penindasan menyusul, maka dia dihalau dan akhirnya dia sampai ke Saxony. Di sana dia bertemu dengan Count Zinzendorf. Zinzendorf hanya berumur dua puluh dua tahun pada masa itu dan merupakan seorang bangsawan di sebuah negara yang kecil. Disebabkan penindasan di Moravia, dikbang-dikbang melarikan diri dari tanah air mereka dan disambut oleh Dikbang Zinzendorf dalam wilayahnya. Di situ mereka memulakan Gereja Moravian. Mereka tinggal di sebuah kawasan berbukit di Saxony dan mula mendirikan keluarga. Secara beransur-ansur, pelbagai jenis orang Kristian juga berpindah ke tempat itu dari tempat penindasan masing-masing.
Antara pendatang ini terdapat seorang yang berkulit hitam dari Hindia Barat yang bernama Anthony. Setelah bertemu dengan dikbang-dikbang, dia berbincang dengan mereka tentang keadaan di Hindia Barat. Sesetengah dikbang berasa ada keperluan untuk pergi dan memberitakan injil di sana. Mereka memilih beberapa pekerja melalui pengundian untuk pergi bersama dengan Anthony. Inilah misi mubaligh yang pertama ke luar negara, yang berlaku kira-kira pada tahun 1732. Sejak itu, mubaligh dihasilkan secara berterusan daripada kalangan mereka, dan Gereja Moravian menjadi perbadanan mubaligh yang terkuat pada masa itu. Percayawan mereka tersebar luas ke setiap pelosok dunia.
Pada masa yang sama, dalam Gereja Katolik terdapat penemuan yang baru. Sekumpulan orang yang rohani dibangkitkan oleh Tuan. Yang paling rohani antara mereka ialah Miguel de Molinos. Dia dilahirkan pada tahun 1640 dan mati pada tahun 1697. Dia menulis sebuah buku bertajuk Panduan Rohani (Spiritual Guide) yang mengajar orang cara menyangkal diri dan mati bersama dengan Tuan. Buku ini mempengaruhi banyak orang pada masa itu. Salah seorang yang sezaman dengannya ialah Madame Guyon. Dia dilahirkan pada tahun 1648 dan mati pada tahun 1717. Dia lebih mengenali hal-hal seperti bersatu dengan kehendak Tuhan dan menyangkal diri. Autobiografinya ialah sebuah buku yang baik dan sangat rohani.
Selain itu, Bapa Fenelon merupakan biskop pada masa itu. Dia sangat rela menderita demi Tuan, dan dia bekerja bersama dengan Madame Guyon. Menerusi golongan ini, Tuhan membebaskan banyak mesej rohani. Pada zaman itu, orang yang mempunyai pengalaman hayat rohani yang terdalam adalah daripada Gereja Katolik. Gereja Protestan pada masa itu hanya memberi tumpuan kepada doktrin justifikasi melalui iktikad.
Selain tiga orang di atas, terdapat juga Gottfried Arnold. Dia menulis banyak buku berkenaan persoalan gereja. Dia berpendapat bahawa gereja pada masa itu telah menyimpang daripada kebenaran dan haruslah kembali ke tapak yang wajar seperti yang diwahikan dalam Wasiat Baru supaya gereja dapat dibina. Di sini kita melihat dua aliran. Satu aliran berasal daripada percayawan seperti Molinos, Madame Guyon, dan Fenelon. Aliran yang satu lagi berasal daripada golongan yang diwakili Arnold. Dalam majalah kita yang bertajuk Kesaksian Terkini, kita pernah menerbitkan rencana Aliran Roh yang ditulis oleh Madame Guyon. Menerusi penulisannya, kamu dapat melihat bahawa dia memang seorang yang sangat rohani. Berkenaan Arnold, dia terutamanya memulihkan hal-hal luaran. Dia mencadangkan orang Kristian kembali ke tapak Wasiat Baru yang menurut Bible.
Dua aliran ini akhirnya bergabung menjadi satu. Pada tahun 1700, gereja di “Filadelfia” dibangkitkan. Filadelfia bermakna kasih sesama dikbang. Pada masa itu, apabila orang membaca Wahi 2 dan 3, mereka menyedari bahawa sesungguhnya Gereja Protestan sudah keluar daripada Gereja Katolik. Namun demikian, mereka sekadar gereja di Sardis dan masih tidak ada pemulihan yang sepenuhnya.
Apabila kumpulan sedemikian dibangkitkan, mereka tidak menyuruh orang keluar daripada organisasi asal mereka, seperti yang dilakukan organisasi lain. Mereka tidak memaksa orang meninggalkan denominasi mereka. Sebaliknya, mereka mengadakan perhimpunan di merata tempat. Sejak tahun 1670, kesaksian mereka dijumpai di England. Di Leeds, Bradford, dan di tempat yang lain, perhimpunan mereka dibangkitkan satu demi satu. Mereka merupakan saksi-saksi yang paling kuat dalam abad kelapan belas. Semasa Zinzendorf masih hidup, dia pernah mencuba menyerapkan pergerakan ini ke dalam Gereja Moraviannya. Akan tetapi, dia tidak berjaya.
Pada permulaan abad kelapan belas, suatu kepulihbangkitan besar berlaku di England. Pada tahun 1729, dua orang adik-beradik Wesley dibangkitkan oleh Tuhan. Mereka dipanggil Methodist. Menerusi mereka, Tuhan membawa masuk suatu kepulihbangkitan yang besar. Inilah permulaan Gereja Methodist. Adik-beradik Wesley merupakan tokoh yang utama dalam abad kelapan belas. Sebelum John Wesley diselamatkan, dia berusaha untuk menjadi baik. Kemudian dia pergi ke Amerika untuk menjadi mubaligh. Pada waktu itu dia belum lagi diselamatkan. Dia bersaksi bahawa walaupun dia pernah mendengar kebenaran tentang justifikasi melalui iktikad, namun dia tidak dapat memahaminya. Kemudian seorang dikbang Moravian membantunya dan memberitahunya, “Teruskan beritakan justifikasi melalui iktikad kepada orang lain sehingga kamu sendiri pasti bahawa kamu telah dijustifikasikan melalui iktikad.” Tidak lama selepas itu, dia pun diselamatkan. Tidak lama selepas diselamatkan, dua orang adik-beradik ini mula memberitakan mesej ini di merata tempat. Pada masa itu, orang tidak dibenarkan untuk memberitakan injil secara terbuka dan hanya boleh berkhutbah di rumah ibadat. Namun demikian, adik-beradik ini, bersama dengan George Whitefield, mula mengadakan perhimpunan terbuka dan membawa orang kepada Tuan dengan cara ini. Topik utama dalam mesej John Wesley ialah doktrin berkenaan pengudusan. Ajaran tentang pembasmian dosa bermula daripadanya, walaupun dia juga memberitahu orang bahawa pengudusan adalah melalui iktikad.
Selepas kematian Wesley, pergerakan mubaligh ke luar negara bermula. Organisasi pertama yang ditubuhkan ialah Persatuan Mubaligh London (London Missionary Society). Organisasi ini bermula sebagai suatu institusi yang tidak bersifat denominasi, tetapi akhirnya berada di bawah Gereja Kongregasional. Pada tahun 1799, Persatuan Mubaligh Gereja (Church Missionary Society (C.M.S.) dibentuk dan dimiliki oleh Gereja Anglikan. Aliran Methodist juga meluaskan organisasi mubalighnya menjadi Persatuan Mubaligh Methodist (Methodist Missionary Society) hari ini.
Kesimpulannya, reformasi pada abad keenam belas tersebar luas, tetapi reformasi pada abad kelapan belas kurang meluas. Reformasi abad keenam belas mempengaruhi seluruh dunia bukan sahaja dari segi rohani tetapi juga dari segi politik dan sosial. Reformasi abad kelapan belas terutamanya mempengaruhi segi rohani sahaja. Antara semua pergerakan dalam abad kelapan belas, yang paling perlu diperhatikan ialah kesaksian gereja “Filadelfia”. Mereka menggabungkan semua pemulihan yang utama sebelum itu. Dalam kalangan mereka, kita dapat mencari semua kebenaran yang utama.
PENEMUAN KEBENARAN TUHAN DALAM ABAD KESEMBILAN BELAS
Sekarang marilah kita melihat abad kesembilan belas. Abad ini memperlihatkan kepulihbangkitan yang penuh. Pertama sekali, kita ingin melihat John Nelson Darby dan kepulihbangkitan yang diwakilinya.
Pada tahun 1827, sekumpulan orang dibangkitkan di Dublin, Ireland. Dalam kalangan mereka terdapat orang seperti Edward Cronin dan Anthony Norris Groves. Mereka melihat bahawa banyak perkara dalam gereja adalah mati, tidak mempunyai hayat, dan formal. Mereka mula memohon kepada Tuan agar menunjukkan kepada mereka gereja yang menurut wahi Bible. Menerusi doa dan persekutuan, mereka berasa bahawa mereka harus bangkit dan berhimpun menurut prinsip dalam 1 Korintus 14. Lantaran itu, mereka mula memecah roti di rumah seorang dikbang. Tidak lama kemudian, seorang bekas minister dari Anglikan, iaitu John Nelson Darby, mula menyertai perhimpunan mereka dan mentafsirkan Bible dalam kalangan mereka. Selepas itu, semakin banyak pentafsir Bible dibangkitkan dalam kalangan mereka, misalnya William Kelly, C.H. Mackintosh, B.W. Newton, dan J.G. Bellett. Dengan membaca buku-buku mereka, saya menerima cahaya untuk melihat kesilapan organisasi denominasi dan menyedari bahawa terdapat hanya satu Tubuh Kristus. Gereja tidak harus dibentuk oleh pendapat manusia sebaliknya harus berada di bawah pimpinan langsung daripada Roh Kudus. Apabila kita mempertimbangkan organisasi gereja hari ini, kita lihat banyak tradisi dan pendapat manusia namun kurang pimpinan langsung daripada Roh Kudus. Ini bukanlah menurut hasrat Tuhan. Dalam kehendak Tuhan, gereja tidak harus berada di bawah kawalan manusia. Gereja seharusnya dikawal oleh Roh Kudus sahaja. Semua orang kepunyaan Tuan harus belajar dipimpin oleh Roh Kudus dan tidak harus mengikut arahan manusia. Semua cahaya kebenaran ini ditemui oleh Kumpulan Dikbang (The Brethren) ini.
Tambahan pula, Kumpulan Dikbang juga mempunyai banyak penemuan berkenaan kingdom milenium, persoalan raptur, dan nubuat-nubuat dalam buku Daniel dan Wahi. Mereka ialah golongan yang paling berpengaruh dalam pentafsiran pelbagai tamsil dalam Wasiat Lama. Ulasan berkenaan Lima Buku Musa yang ditulis oleh C.H. Mackintosh merupakan penulisan yang berwibawa dalam kategori itu. Penginjil D.L. Moody amat mengesyorkan penulisan ini. Kumpulan Dikbang juga menggariskan perbezaan yang jelas antara nubuat berkenaan orang Yahudi dengan nubuat berkenaan gereja dalam Bible. Seratus tahun sebelum itu, banyak orang mengelirukan nubuat orang Yahudi dengan nubuat gereja. Mereka menyangka bahawa nubuat orang Yahudi telah digenapi pada gereja. Selain itu, Kumpulan Dikbang juga menghasilkan banyak penulisan yang lain.
Dalam tempoh masa ini, banyak dikbang yang rohani dibangkitkan di England. Selain yang disebut tadi, terdapat juga dikbang seperti Charles Stanley dan George Cutting. George Cutting menulis sebuah buku kecil bertajuk Keselamatan, Jaminan, dan Kenikmatan (Safety, Certainty, and Enjoyment). Buku itu memberitahu orang bahawa mereka mempunyai jaminan untuk penyelamatan mereka. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina. Kebenaran tentang injil telah dipulihkan sepenuhnya menerusi dikbang-dikbang ini.
Selain dikbang-dikbang ini, terdapat juga Robert Govett yang melihat persoalan ganjaran orang Kristian. Dia mendapati bahawa walaupun seseorang telah diselamatkan melalui iktikad, namun ganjarannya adalah menurut kerjanya di hadapan Tuhan. Penyelamatan ialah soal hayat, manakala ganjaran ialah soal kehidupan. C.H. Spurgeon pernah mengatakan bahawa Govett ialah seorang yang mendahului zamannya sebanyak seratus tahun kerana ajarannya terlalu mendalam. Govett memberitahu orang dua perkara. Pertama, orang Kristian mungkin akan tersingkir daripada kingdom milenium; oleh itu, percayawan harus setia dan tekun. Kedua, dia mengajar bahawa bukan semua percayawan yang akan diraptur sebelum kesengsaraan dahsyat. Hanya percayawan yang jayeng dan setia yang akan diraptur.
Pada zaman itu, seorang demi seorang pentafsir Bible dibangkitkan. Salah seorang dikbang yang sangat masyhur dan rohani ialah G.H. Pember. Dia menulis banyak buku ulasan. Selain itu, terdapat juga D.M. Panton dan Hudson Taylor. Hudson Taylor menulis sebuah buku yang bertajuk Penyatuan dan Persekutuan (Union and Communion), yang membicarakan pengalaman yang amat mendalam terhadap Kristus. Kebenaran-kebenaran yang disebut di atas semuanya penemuan yang sangat besar. Walaupun semua kebenaran Tuhan yang berlainan ini telah dipulihkan, tetapi tidak boleh dianggap sebagai kebenaran Tuhan yang paling utama.
Selepas itu, Tuhan membangkitkan George Müller di England. Dia belajar banyak pelajaran yang baik berkenaan doa dan iktikad dalam sabda Tuhan. Dia mengajar bahawa manusia harus menuntut janji Tuhan menerusi doa, dan dia juga mempersaksikan cara dia hidup melalui iktikad dalam hal kewangan.
Di Amerika Syarikat terdapat Perikatan Kristian dan Mubaligh (Christian and Missionary Alliance). Yang paling terkenal antara mereka ialah A.B. Simpson, A.J. Gordon, dan lain-lain. Mereka semua sangat berpengaruh. Bahkan Hudson Taylor di England juga dipengaruhi oleh mereka. Mereka melihat bahawa percayawan harus kembali kepada pengalaman pada zaman dutus, iaitu hidup melalui iktikad. Inilah wahi yang besar pada masa itu. Sememangnya kebenaran ini telah menjadi sesuatu yang lazim dalam kalangan kita hari ini.
Gordon dan Simpson juga menemui kebenaran berkenaan penyembuhan divin dan mula mengalaminya. Hal ini tersebar dengan cepat dan diberitakan secara umum, dan banyak orang tertarik oleh hal ini. Namun demikian, penekanan Simpson bukan pada penyembuhan penyakit, tetapi pada hayat kebangkitan yang berupaya mengatasi kelemahan tubuh. Dia mengajar bahawa seorang dapat jayeng atas penyakitnya dengan mengenali Kristus sebagai Yang Perkasa dan Penyelamat.
Pada masa yang sama, sekumpulan orang lagi dibangkitkan; mereka ini menekankan hayat dalaman. Lebih kurang enam puluh tahun dahulu, Tuhan memperoleh seorang peniaga porselin yang bernama Robert Pearsall Smith. Dia melihat bahawa persembahan diri menghasilkan pengudusan. Pengudusan sedemikian agak berbeza daripada pengudusan yang dibicarakan Wesley. Pengudusan yang dibicarakan Smith datang menerusi persembahan diri dan iktikad. Pengudusan yang diberitakan oleh Wesley ialah sejenis kehidupan yang dicapai secara beransur-ansur selepas seseorang mempersembahkan diri. Sebenarnya, kedua-dua ajaran ini merupakan kebenaran. Puan Hannah Whitall Smith menjejaki garis hayat dalaman Smith ini, lalu dia menulis sebuah buku bertajuk Rahsia Kehidupan Kristian yang Bahagia (The Christian’s Secret of a Happy Life). Di samping itu, terdapat juga tokoh seperti Stocknell (?), Evan Hopkins, dan Andrew Murray. Mereka meneruskan garis kebenaran berkenaan menyangkal diri, yang diberitakan oleh orang seperti Madame Guyon dua ratus tahun sebelum itu dalam Gereja Katolik. Golongan percayawan ini mula mengadakan persidangan di Jerman, England, dan tempat-tempat lain. Persidangan-persidangan ini menjadi permulaan kepada Konvensyen Keswick yang kita ketahui hari ini. Pemidato yang utama dalam konvensyen ini ialah Evan Hopkins. Dia menerima bantuan daripada Smith dan orang lain seperti Madame Guyon dan merupakan seorang yang mempunyai pengaruh rohani pada masa itu. Walaupun kebenaran yang disampaikan oleh Madame Guyon tidak pernah disebarluaskan, namun ia mempunyai pengaruh yang kuat ke atas banyak orang dari segi rohani. Bahkan Wesley menerima bantuan daripadanya. John Wesley pernah mengatakan bahawa dia berharap setiap percayawan akan membaca mesej-mesej Madame Guyon. Dia juga mengatakan bahawa dia banyak berhutang budi kepada Madame Guyon. Tuhan memperoleh seorang perempuan sedemikian pada abad ketujuh belas, dan menerusinya Tuhan membawa masuk arus utama pada abad kesembilan belas.
Selain Hopkins, terdapat juga H.C. Trumbull yang membebaskan kebenaran tentang hayat yang jayeng di Konvensyen Keswick. Mesej-mesej ini menghasilkan pemulihan yang besar berkenaan pengenalan tentang hayat yang jayeng dan cara percayawan mengalami hayat yang jayeng ini dalam kehidupan mereka.
Selepas Hopkins, Tuhan membangkitkan seorang dikkak lagi, Puan Jessie Penn-Lewis. Dikkak ini sangat lemah tubuh badannya pada usia muda. Dia sering baring di atas katil. Semasa dia sakit, dia membaca penulisan Madame Guyon di atas katil dan menganggapnya sebagai teman katil. Walau bagaimanapun, dia tidak dapat percaya bahawa penyangkalan diri, iktikad, dan kasih yang mutlak, seperti yang ditulis dalam mesej-mesej itu, dapat diamalkan. Pada suatu hari sewaktu dia berbalah dan berbantah dengan Tuhan, dia merayu kepada Tuan secara terdesak agar membawa dia ke dalam kebenaran-kebenaran ini. Tuan memakbulkan doanya. Sejak itu, dia dibangkitkan Tuan untuk memberitakan kebenaran tentang salib.
Dikbang Holden, seorang bekas mubaligh daripada Misi Pedalaman China (China Inland Mission), mengenali salib dengan membaca buku Puan Penn-Lewis. Puan Penn-Lewis merupakan seorang yang benar-benar memikul salib. Menerusi pengalamannya, banyak percayawan tertarik untuk mengejar kebenaran berkenaan salib. Menerusi mereka ini, Tuhan memimpin banyak orang untuk menyedari bahawa pusat bagi kerja Tuhan ialah salib. Salib merupakan asas bagi semua hal rohani. Tanpa kerja salib, seseorang tidak akan mengenali apa itu maut dan apa itu dosa. Banyak orang yang rohani menerima bantuan yang besar daripadanya. Menerusi mesej-mesej yang diberitakannya, Tuhan membebaskan banyak orang. Kita dapat melihat bahawa penemuan kebenaran Tuhan adalah progresif. Semakin majunya penemuan kebenaran, semakin lengkap penemuan itu. Pada akhir abad kesembilan belas, hampir semua kebenaran sudah dipulihkan.
KEMAJUAN KEBENARAN PADA ABAD KEDUA PULUH
Sekarang kita datang ke abad kedua puluh. Dua peristiwa yang besar berlaku pada abad kedua puluh. Yang pertama ialah Pemberontakan Boxer di China pada tahun 1900. Dalam pemberontakan ini, banyak orang Kristian telah martir demi Tuan. Peristiwa kedua ialah Kepulihbangkitan Wales yang besar pada tahun 1904. Dalam kepulihbangkitan ini, di sesetengah bandar, semua penduduknya telah diselamatkan, sehinggakan tidak ada orang lagi yang perlu mendengar injil. Banyak fenomena hari Pentakosta juga terjadi dalam kalangan mereka.
Orang yang memimpin dalam kepulihbangkitan ini ialah Evan Roberts, seorang pelombong batu arang yang berumur dua puluh dua tahun. Dia tidak berpendidikan tinggi. Tuhan memanggil dia daripada golongan yang bertaraf rendah dan memberinya seorang teman bernama Hastwell (?). Selepas dia diselamatkan, Roberts sering berdoa dengan bersungguh-sungguh di lombong batu arang. Satu-satunya doanya ialah, “Tuan, tundukkanlah gereja untuk menyelamatkan dunia.” (Lord, bend the church to save the world.) Orang di sekelilinginya bingung, tetapi mereka juga tersentuh. Secara beransur-ansur, lebih banyak orang menyertainya untuk berdoa, dan tidak lama kemudian seluruh lombong dipengaruhi. Banyak pelombong bangun untuk berdoa. Dengan itu, bermulalah kepulihbangkitan yang tersebar ke seluruh bahagian selatan England.
Kita belajar dua kebenaran daripada mereka: Pertama, kerja kepulihbangkitan Roh Kudus dihasilkan menerusi sekumpulan orang yang terbongkok dan ditundukkan. Kita tidak perlu meminta Tuhan memberi kita kepulihbangkitan yang luaran. Kita hanya perlu meminta Tuhan untuk menundukkan kita dengan lebih mendalam dan segar, lalu hayat akan mengalir daripada diri dalaman kita secara spontan.
Kedua, sejak itu, banyak orang mula memahami kerja roh jahat. Sebelum itu, walaupun orang membincangkan hal ini, tetapi pengetahuan mereka tidak menyeluruh. Dikbang Roberts memahami apa itu peperangan rohani. Pengalaman Efesus 6 ditanggap-faham dengan menyeluruh pada masanya. Pada tahun 1908, semasa dia sakit terlantar di atas katil, dia memberitahu Encik dan Puan Penn-Lewis berkenaan pengalamannya dalam peperangan rohani dengan roh jahat. Selepas itu Puan Penn-Lewis, berdasarkan pemahaman ini dan pengalamannya sendiri, telah menulis sebuah buku bertajuk Perang dengan Pekudus (War on the Saints); buku ini telah membantu membebaskan banyak percayawan yang terpedaya. Dalam beberapa tahun yang lalu, hampir semua mesej yang dibicarakan dalam kalangan percayawan yang rohani ialah ajaran Puan Penn-Lewis, iaitu kebenaran berkenaan peperangan rohani dan salib.
Semasa kepulihbangkitan ini sedang berlangsung, satu kerja yang baru bermula di Los Angeles di Amerika Syarikat. Dari tahun 1908 hingga 1909, beberapa percayawan yang berkulit hitam di Jalan Azusa mengalami baptisan Roh Kudus dan mula berbicara dalam bahasa lidah. Berkenaan bahasa lidah, memang benar bahawa banyak yang mengamalkannya secara ekstrem dan tidak wajar. Sudah tentu kita tidak meniadakan bahasa lidah. Kita juga perlu membantu orang memperoleh pengalaman Pentakosta. Dari satu segi, Paulus mengajar bahawa bukan semua orang berbahasa lidah (1 Kor. 12:30). Dari segi lain, dia memberitahu kita, “Jangan larang berbahasa lidah” (14:39). Ayat pertama adalah untuk orang yang terlalu menekankan hal ini. Ayat kedua adalah untuk orang yang mengabaikan hal ini. Kita harus menjaga dua aspek ini.
Kumpulan orang ini juga melihat bahawa nubuat Yoel 2 tidak digenapi sepenuhnya pada zaman dutus. Pengenapan yang lengkap memerlukan kedatangan hujan akhir. Menurut makna rohani, “hujan akhir” merujuk kepada hari ini.
KERJA TUHAN HARI INI DAN WAHI TUHAN YANG TERKUMPUL
Daripada perbincangan di atas, kita dapat melihat penemuan pelbagai kebenaran Tuhan yang berlaku sebelum abad ini dan pada abad ini. Sekarang kita perlu bertanya: Apakah kerja Tuhan di negara China hari ini? Apakah kerja yang sedang dilakukan Tuhan hari ini?
Sewaktu saya mula-mula diselamatkan, saya mendengar banyak ajaran daripada mubaligh luar negara. Sebelum tahun 1920, mesej tentang penyelamatan jarang-jarang kedengaran di Cina. Selepas tahun 1920, barulah mesej-mesej berkenaan penyelamatan, justifikasi, dan kelahiruan mula diberitakan. Sebelum itu, banyak orang tidak jelas tentang penyelamatan. Hari ini, terdapat lebih daripada seratus lima puluh denominasi yang berlainan. Tuhan menunjukkan kepada kita kesalahan denominasi dan kesilapan mazhab. Oleh sebab ini, kita mula memberitakan mesej-mesej ini. Kemudian, Tuhan mula menunjukkan kebenaran kepada kita satu demi satu, iaitu kebenaran yang telah kita sebut sebelum ini. Kita mula melihat secara beransur-ansur tentang kemenangan Kristus, hayat kebangkitan, ajaran berkenaan salib, kerja Roh Kudus, dan lain-lain. Di merata tempat di China, orang mula memahami hal-hal ini. Dalam perbualan kita dengan mubaligh Barat, kita mendapati bahawa banyak kebenaran yang kita lihat ini juga dipulihkan di negara-negara Barat dengan cara yang sama.
Kita tahu bahawa kebenaran Tuhan adalah terkumpul, dan kebenaran yang terkemudian tidak meniadakan yang terdahulu. Semua kebenaran Tuhan yang lampau menjadi asas bagi kebenaran hari ini. Apa yang kita lihat ialah wahi Tuhan yang terkumpul. Apabila Tuhan membuka mata kita untuk melihat hakikat ini, kita mula menyedari bahawa kita sebenarnya hidup dalam arus kehendak Tuhan. Arus ini ialah kelanjutan semua kerja Tuhan yang lepas pada zaman yang lalu.
Sejak tahun 1926, kita mula membebaskan banyak mesej berkenaan penyelamatan, gereja, serta salib, dan kita banyak bersaksi tentang hal-hal ini. Pada tahun 1927, kita menumpukan perhatian pada kerja salib yang subjektif. Berkenaan salib, kita melihat bahawa bukan sahaja terdapat kebenaran tentang kematian Kristus, malah juga ada hakikat kebangkitan. Sebelum itu, kebangkitan yang kita beritakan hanyalah dari segi kepercayaan, bukan dari segi pengalaman kita. Apa yang kita bicarakan hari ini ialah kebangkitan sebagai prinsip hayat. Ini bukan doktrin tetapi suatu hakikat rohani. Sebagaimana biji gandum mati dan menghasilkan banyak buah, demikianlah prinsip kebangkitan. Kemudian Tuhan menunjukkan kepada kita apa itu Tubuh Kristus dan di mana realiti Tubuh. Kita mula menyedari bahawa sebagaimana hayat Kristus adalah satu, gereja jugalah satu.
Bagi saya, saya menerima banyak bantuan daripada Puan Penn-Lewis. Di England, Encik Austin-Sparks juga menerima banyak bantuan daripadanya. Dikbang Sparks asalnya seorang pastor dalam Gereja Baptis di bahagian tenggara London. Kemudian Tuan menunjukkan kepadanya kebenaran seperti makna kebangkitan dan makna kehidupan gereja.
Kita tidak boleh mengatakan bahawa kebenaran-kebenaran yang disebut di atas tidak wujud pada masa dahulu. Namun demikian, kebenaran-kebenaran ini tidak diwahikan dengan begitu jelas seperti hari ini. Walau bagaimanapun, sebelum tahun 1928, kita tidak menyebut apa-apa tentang perkara utama berkenaan Tuhan. Bermula dari Februari 1928, kita mula berbicara tentang tujuan abadi Tuhan. Sejak itu, kita mula memberitahu orang tentang tujuan abadi Tuhan. Pada tahun itu, kita mengadakan Persidangan Pejayeng buat kali pertama. Selepas itu, kita mempunyai Persidangan Pejayeng yang kedua. Semua perkara yang dibicarakan dalam persidangan-persidangan ini ialah perkara-perkara utama berkenaan Tuhan.
Meskipun kita mempunyai wahi-wahi di atas, namun sampai tahun 1934, barulah kita menyedari bahawa Kristus ialah sentraliti (pusat) bagi segala hal yang berkaitan dengan Tuhan. Kristus ialah sentraliti Tuhan dan universaliti Tuhan. Semua rancangan Tuhan berkait rapat dengan Kristus. Inilah kebenaran yang ingin diberitahukan Tuhan kepada kita pada hari ini. Ini juga menjadi mesej-mesej yang kita beritakan dalam persidangan ini. Tuhan juga menunjukkan hal-hal ini kepada Dikbang Sparks. Dia melihat banyak kebenaran berkenaan pejayeng Tuhan.
Pejayeng Tuhan ialah sekumpulan orang yang memimpin untuk berdiri di tempat maut bagi pihak seluruh jemaah. Hubungan antara mereka dengan gereja adalah seperti hubungan antara Zion dengan Yerusalem. Semua tuntutan Tuhan terhadap Yerusalem jatuh pada Zion. Apabila Zion diperoleh, maka Yerusalem akan diperoleh. Apabila Zion dan Yerusalem diperoleh, tujuan Tuhan akan digenapkan.
Hati kita penuh syukur kepada Tuhan. Kita menerima banyak bantuan daripada semua dikbang di atas. Sebagaimana Paulus berkata, “Aku bukan menerimanya daripada manusia” (Gal. 1:12), begitu juga kita dapat mengatakan bahawa walaupun kita menerima bantuan daripada dikbang-dikbang, namun wahi ini bukan diterima daripada manusia. Kita telah menerima bantuan daripada Luther, Zinzendorf, Dikbang Moravian, dan mesej-mesej dari Keswick. Hari ini kita percaya bahawa matlamat muktamad Tuhan adalah untuk menjadikan Kristus sebagai segala-galanya. Seorang pastor yang berusia, Dr. F.B. Meyer, juga melihat hal ini. Namun pada masa itu, dia sudah berusia lebih daripada sembilan puluh tahun dan tidak dapat melakukan apa-apa lagi. Saya percaya bahawa Tuhan mempunyai satu kerja sahaja hari ini, iaitu mesej Kolose 1:18, yang mengatakan bahawa Tuhan menghendaki Kristus menduduki tempat pertama dalam segala sesuatu. Asas bagi segala-galanya ialah kematian Tuan, kebangkitan Tuan, dan kenaikan Tuan ke syurga. Melainkan Kristus, kita tidak mempunyai apa-apa realiti rohani. Inilah “kebenaran [Tuhan] yang ada sekarang”.
SUATU PANGGILAN
Oleh itu, apakah yang sedang kita lakukan hari ini? Kita harus menjawab seperti Yohanes Pembaptis, bahawa kitalah suara yang berteriak di gurun tandus (Yoh. 1:23). Kerja kita adalah untuk memanggil anak-anak Tuhan agar kembali kepada tujuan utama Tuhan, untuk mengambil Kristus sebagai sentraliti segala sesuatu, dan mengambil kematian, kebangkitan, dan kenaikan-Nya ke syurga sebagai asas bagi segala sesuatu. Inilah mesej Kolose 1 dan 3. Kita mengenali kedudukan gereja dalam Wasiat Baru. Kita menyedari bahawa kedudukan ini adalah tinggi dan rohani. Kita bersyukur kepada Tuhan atas bantuan yang kita terima daripada mubaligh-mubaligh Barat. Namun demikian, Tuhan menunjukkan kepada kita bahawa hari ini kita harus membawa segala-galanya kembali ke tujuan utama Tuhan. Kerja kita hari ini adalah untuk kembali ke tapak gereja yang menurut Bible.
Semua kebenaran Tuhan bertitik tolak daripada gereja. Paulus mula-mulanya diletakkan dalam gereja di Antiokhia, kemudian dia diutus keluar daripada gereja di Antiokhia. Semua kebenaran yang kita beritakan hari ini bertitik tolak daripada gereja. Inilah kerja kita dan inilah kesaksian kita.
Kita harus mengurangkan pembicaraan berkenaan kebenaran lain yang berselerak. Kita harus membantu orang dari pelbagai segi supaya mereka melihat bahawa Tuan ialah Kepala atas segala sesuatu. Kita di sini bukan untuk mengacau-bilaukan gereja. Sebaliknya, kita ingin kembali kepada kerja yang dilakukan dutus pada mulanya. Kita perlu bersikap berhati-hati atas segala yang kita lakukan. Kita harus belajar menolak segala yang berasal daripada manusia, dan kita harus berusaha mengejar segala yang berasal daripada Tuhan.
Kita bersyukur kepada Tuhan kerana Dia membolehkan kita menyentuh tujuan Tuhan yang agung. Kita perlu merendahkan diri, bersujud dan menyangkal diri. Kita perlu jelas bahawa kerja kita hari ini bukan sekadar menyelamatkan orang ataupun membantu orang menjadi rohani. Matlamat kita sememangnya yang terbesar dan termulia. Syukur kepada Tuan kerana kita dapat mengetahui “kebenaran [Tuhan] yang ada sekarang”. Semoga Tuhan menaruh kurnia pada kita supaya kita tidak ketinggalan dalam “kebenaran yang ada sekarang”. Semoga kita berjaga-jaga, tidak membenarkan tubuh daging menyusup masuk dan tidak membenarkan diri kita memperoleh apa-apa tapak. Semoga kehendak Tuhan disempurnakan pada kita.
EMPAT TANGGUNGJAWAB KITA HARI INI
Akhirnya, saya ingin menambah sedikit kata. Kita mempunyai empat tanggungjawab hari ini: (1) Berkenaan pendosa, kita perlu memberitakan injil. (2) Berkenaan Syaitan, kita perlu mengenali peperangan rohani. (3) Berkenaan gereja, kita perlu berpegang teguh pada apa yang telah kita lihat hari ini. (4) Berkenaan Kristus, kita harus bersaksikan hakikat bahawa Dialah yang menduduki tempat pertama dalam segala sesuatu. Hari ini, kesaksian ini terdapat di Amerika, England, Perancis, Sepanyol, bahkan Afrika, dan di merata-rata tempat. Namun demikian, bilangannya tidak banyak. Secara luaran, keadaan mereka juga amat miskin. Kita harus berdoa untuk tempat-tempat ini.