Ef. 2:8 Kerana melalui kurnia, kamu telah diselamatkan menerusi iktikad, dan ini bukan daripada dirimu tetapi berian Tuhan.
Pada zaman kurnia ini, segala-galanya adalah “melalui kurnia” (Ef. 2:8). “Melalui kurnia” bermaksud segala-galanya telah dilakukan oleh Tuhan untuk manusia dan manusia tidak perlu melakukan apa-apa untuk diselamatkan kerana “kepada dia yang bekerja, upahnya bukan dikira menurut kurnia, tetapi menurut apa yang sepatutnya” (Roma 4:4). Oleh sebab Tuhan memperlakukan manusia dengan kurnia, maka terhasillah hakikat.
HAKIKAT
Hakikat bermaksud bahawa Tuhan telah menyempurnakan segala-galanya untuk manusia. Disebabkan sesuatu hal telah disempurnakan, maka hal itu menjadi “hakikat”. Memandangkan segala-gala yang disempurnakan telah menjadi “hakikat”, maka manusia tidak perlu lagi menyempurnakan sesuatu yang telah disempurnakan. Semua kerja yang dilakukan Tuhan adalah lengkap.
Namun begitu, kurnia Tuhan ialah kurnia yang adilbenar. Oleh itu, sungguhpun “hakikat” sudah ada, namun kerjasama manusia masih diperlukan. Apakah kerjasama ini? Kerjasama ini bukanlah manusia menambah apa-apa lagi ke atas hal yang telah diselesaikan Tuhan, tetapi manusia cuma perlu mengaku bahawa semua hal yang dilakukan Tuhan ini adalah benar. Inilah iktikad.
IKTIKAD
Iktikad bererti mengaku bahawa semua yang diperkatakan dan dilakukan Tuhan adalah benar. Iktikad bererti menerima hakikat dan untuk mengakuinya sebagai hakikat.
Iktikad bererti “penunaian”. Saya menggunakan perkataan “penunaian” dalam konteks menunaikan cek di bank. Katakan seseorang memberi kamu sekeping cek. Di dalam bank terdapat jumlah wang itu; inilah hakikatnya. Sekiranya kamu sudi pergi ke bank untuk menunaikan cek bagi mendapatkan wang tersebut, maka kamu mengakui hakikat bahawa bank itu mempunyai jumlah wang yang tertera di atas kepingan cek. “Penunaian” memerlukan iktikad. Jika kamu mempunyai iktikad, kamu akan pergi menunaikan cek dan kamu akan mempunyai wang untuk digunakan. Menggunakan wang pula ialah “pengalaman”. Kewujudan wang di bank ialah “hakikat”, menunaikan cek ialah “iktikad”, manakala menggunakan wang ialah “pengalaman”. Dalam kurnia Tuhan, segala apa yang dilakukan-Nya untuk manusia ialah hakikat. Akan tetapi, manusia masih perlu mengalami hakikat ini.
PENGALAMAN
Kita tahu bahawa Tuan Yesus Kristus ialah Sabda yang menjadi tubuh daging. Dia ialah konsumasi bagi semua virtu divin dan totaliti segala kesempurnaan. Kehidupan-Nya ialah kehidupan Tuhan kerana Dia sendiri ialah Tuhan. Kristus telah menyempurnakan penyelamatan di atas salib. Bagi sesiapa yang menerima Tuan Yesus sebagai Tuan dan Penyelamat secara ikhlas, pada saat dia percaya, Tuhan telah pun memperkenannya seperti mana Dia memperkenan Tuan Yesus. Pada ketika itu, semua virtu dan kesempurnaan Tuan Yesus disalurkan kepada percayawan. Pada pandangan Tuhan, keadaan mereka adalah sama seperti Tuan Yesus di hadapan Tuhan. Tuhan melihat setiap orang Kristian seperti Dia melihat Kristus. Disebabkan orang Kristian bersatu dengan Kristus, maka segala gerak laku dan penyempurnaan Tuan Yesus dikira juga sebagai milik orang Kristian. Inilah “hakikat” yang dimiliki orang Kristian di hadapan Tuhan. Hakikat ini disempurnakan oleh Kristus untuk orang Kristian. Hakikat ini bermaksud: Disebabkan percayawan bersatu dengan Tuan Yesus, maka dari segi hakikat segala-gala yang dimiliki Kristus juga dimiliki percayawan-Nya. Hakikat ini telah disempurnakan oleh Tuhan sendiri; percayawan langsung tidak terlibat dalam penyempurnaan-Nya.
Tuan Yesus telah mati dan telah memberi kita segala perbuatan-Nya yang adilbenar, virtu divin-Nya, kesempurnaan-Nya, kemenangan-Nya, kecantikan-Nya, dan sebagainya. Dengan ini, kita menjadi sama seperti-Nya di hadapan Tuhan, dan Tuhan memperkenan kita sebagaimana Dia memperkenan Tuan. Inilah yang diberikan-Nya kepada kita. Semua ini menjadi hakikat pada saat kita menjadi orang Kristian. Dari segi hakikat, kita adalah sempurna seperti Tuan Yesus adalah sempurna. Akan tetapi, dari segi pengalaman, kita mungkin belum mencapai keadaan sedemikian. Makna “hakikat” ini tidak lain dan tidak bukan merujuk kepada kurnia yang diberikan Tuhan kepada kita dan disempurnakan-Nya untuk kita menerusi Tuan Yesus. Disebabkan kita bersatu dengan Anak Tuhan, segala kurnia telah menjadi milik kita.
Kita mungkin ada hakikat mewarisi harta namun tidak ada pengalaman menikmati harta. Antara hakikat dan pengalaman terdapat perbezaan yang besar. Banyak percayawan kaya dalam hakikat kerana segala kepunyaan Tuhan adalah milik mereka. Namun begitu, mereka sangat miskin dalam pengalaman kerana mereka tidak menggunakan dan menikmati kekayaan mereka secara praktikal. Anak sulung dalam Lukas 15 merupakan contoh yang baik bagi keadaan orang sebegini. Dari segi hakikat, dia ialah anak yang “sering bersama-samaku, dan segala kepunyaanku ialah kepunyaanmu” (ay. 31). Akan tetapi, dari segi pengalaman, dia tidak pernah mempunyai “seekor kambing agar aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku” (ay. 29). Dia anak orang kaya; inilah kedudukannya (inilah hakikat). Namun demikian, dia mungkin langsung tidak pernah menikmati seekor kambing; inilah keadaannya (inilah pengalaman).
CONTOH DALAM WASIAT LAMA
Dalam Wasiat Lama, terdapat satu peristiwa yang dapat menunjukkan kepada kita hubungan antara hakikat, iktikad, dan pengalaman. Peristiwa ini ialah sebahagian daripada sejarah orang Israel memasuki tanah Kanaan. Pada zaman kuno, Tuhan telah menjanjikan tanah Kanaan kepada orang Israel. Dia pernah memberitahu hal ini kepada Abraham, kepada Ishak, kepada Yakub, malah Dia juga telah memberitahu hal ini kepada puluhan ribu orang yang keluar dari Mesir. Bagi Tuhan, tanah itu telah pun diberikan. Tuhan berjanji akan berjuang untuk mereka supaya mereka mengatasi semua musuh. Sudah menjadi hakikat bahawa Tuhan telah menyerahkan tanah dan orang Kanaan kepada orang Israel. Akan tetapi, mereka masih belum mengalaminya sungguhpun hakikat itu ada. Berdasarkan hakikat, tanah itu adalah milik mereka, namun dari segi pengalaman mereka masih belum memperoleh seinci pun tanah itu. Itulah sebabnya mereka harus “naik segera dan menduduki tanah itu” kerana mereka “pasti berupaya menawannya” (Bil. 13:30). Akan tetapi, disebabkan ketidakpercayaan mereka, maka meskipun Tuhan telah memberikan mereka tanah (hakikat), namun mereka masih belum memperolehnya (pengalaman). Selepas berlalunya satu generasi, Tuhan bersabda kepada Yosua, “Setiap tempat yang diinjak tapak kakimu telah Aku berikan kepadamu, sebagaimana yang Aku janjikan kepada Musa” (Yos. 1:3). Mereka harus mara untuk memperoleh tanah yang diberikan Tuhan kepada mereka dengan tapak kaki mereka. Kemudian, setelah mereka naik, mereka pun memperoleh tanah itu.
LATIHAN PRAKTIKAL
Hakikat merujuk kepada janji Tuhan, penebusan Tuhan, kerja Tuhan dan berian Tuhan secara percuma. Iktikad merujuk kepada cara manusia percaya kepada Tuhan, menaruh keyakinan dalam kerja dan penebusan-Nya, serta menuntut janji-Nya. Iktikad merupakan kerja dan sikap yang menukarkan hakikat Tuhan menjadi pengalaman manusia. Pengalaman merujuk kepada kehidupan percayawan yang wajar menerusi kepercayaan mereka kepada Tuhan.
Pengalaman merujuk kepada kehidupan percayawan yang mengekspresikan hayat Kristus secara praktikal. Pengalaman merujuk kepada penyedarjelasan bagi semua penyempurnaan dan kemenangan Kristus, dan juga penerapan, penampakan, dan penghidupan keluar hakikat Tuhan secara praktikal. Sejarah watak-watak yang tercatat dalam Bible berada dalam kategori ini.
Para pengajar dan percayawan harus mengetahui hubungan antara tiga perkara ini. Jika tidak, mereka akan menjadi keliru dalam kehidupan dan dalam pengajaran mereka, malah mereka akan mendapati banyak percanggahan dan ketidakselarasan semasa membaca Bible. (Hakikat, Iktikad, dan Pengalaman, m.s. 1-4, 6-8)
Bacaan Selanjutnya: Hakikat, Iktikad, dan Pengalaman, bab 1.