• Setia Melayan | Rapat Mengikut

    Sehati Sejiwa Berkoordinasi | Mengasuh Generasi Muda

Topik 14: Jangan Mengasihi Dunia

1 Yoh. 2:15 Jangan kasihi dunia dan apa yang ada di dunia. Jika sesiapa mengasihi dunia, kasih untuk Bapa tidak ada dalamnya;

1 Yoh. 2:16 Kerana segala yang ada di dunia, iaitu nafsu tubuh daging, nafsu mata, dan kemuliaan sia-sia daripada kehidupan, bukan berasal daripada Bapa tetapi daripada dunia.

DUNIA – SISTEM YANG DIDIRIKAN OLEH SYAITAN UNTUK MENDUDUKI MANUSIA CIPTAAN TUHAN

Perkataan Yunani bagi “dunia”, kosmos, mempunyai makna lebih daripada satu. Dalam Yohanes 1:29, 3:16, dan Roma 5:12, perkataan ini merujuk kepada umat manusia jatuh yang dikorupkan dan diduduki Syaitan untuk menjadi komponen sistem dunianya yang jahat. Dalam 1 Yohanes 2:15, seperti dalam Yohanes 15:19, 17:14, dan Yakobus 4:4, perkataan ini merujuk kepada suatu aturan, suatu bentuk yang tetap, suatu susunan yang teratur, justeru, sistem yang tertib (didirikan oleh Syaitan, seteru Tuhan), bukannya bumi. Tuhan telah mencipta manusia agar manusia hidup di bumi ini untuk menggenapi tujuan-Nya. Namun untuk menduduki manusia ciptaan Tuhan, musuh-Nya, Syaitan, telah membentuk satu sistem dunia yang anti-Tuhan di bumi ini dengan mensistemasikan manusia melalui agama, kebudayaan, pendidikan, industri, perdagangan, hiburan, dan sebagainya, menerusi sifat jatuh manusia, dalam nafsu, keseronokan, dan pengejaran mereka, bahkan dalam memuaskan nafsu mereka terhadap keperluan kehidupan mereka, seperti makanan, pakaian, penginapan, dan pengangkutan. Seluruh sistem kesyaitanan yang sedemikian terletak dalam dia yang iblisi (1 Yoh. 5:19). Tidak mengasihi dunia yang sedemikian adalah asas untuk jayeng ke atas dia yang iblisi. Mengasihi dunia walaupun sedikit sahaja akan memberi asas kepada dia yang iblisi untuk mengalahkan kita dan menduduki kita.

APA YANG ADA DI DUNIA

Nafsu Tubuh Daging

Satu Yohanes 2:16 berbicara tentang apa yang ada di dunia, “Iaitu nafsu tubuh daging, nafsu mata, dan kemuliaan sia-sia daripada kehidupan, bukan berasal daripada Bapa tetapi daripada dunia.” Nafsu tubuh daging ialah keinginan berahi daripada tubuh, terutamanya berkaitan dengan tubuh. Oleh sebab buah daripada pohon pengetahuan baik dan jahat telah memasuki manusia sejagat, tubuh kita menjadi jatuh dan korup. Adam dan Hawa, bapa leluhur kita telah makan buah daripada pohon pengetahuan baik dan jahat; hasilnya, suatu elemen iblisi telah memasuki manusia sejagat, dan sekarang elemen ini berada dalam tubuh jasmaniah kita. Dari pengalaman kita tahu bahawa terdapat suatu yang iblisi, yakni elemen kesyaitanan, huni dalam sifat manusia.

Nafsu Mata

Nafsu mata ialah keinginan berahi daripada sukma menerusi mata. Apabila buah pohon pengetahuan baik dan jahat memasuki tubuh manusia, tubuh itu menjadi tubuh daging. Disebabkan tubuh melingkungi sukma, sukma jatuh ke bawah pengaruh tubuh yang jatuh ini. Akibatnya, sukma kita juga dikorupkan. Oleh itu, sukma, iaitu bahagian psikologi kita, penuh dengan nafsu lantaran pengaruh tubuh yang jatuh.

Kemuliaan Sia-sia daripada Kehidupan

Kemuliaan sia-sia daripada kehidupan ialah kesombongan yang kosong, kebanggaan kosong, dan mempertunjuk-tunjukkan benda-benda material dengan sia-sia daripada kehidupan masa ini. (Life-study of 1 John, mesej 20)

HANYA DENGAN MENGASIHI TUHAN AKAN KITA DISELAMATKAN DARI DUNIA

Banyak orang muda tidak sanggup melepaskan dunia. Selepas mereka digalakkan oleh orang lain dalam perhimpunan, mereka seolah-olah tidak lagi mengasihi dunia. Namun begitu, pada masa lain, mereka seolah-olah tidak dapat memutuskan hubungan dengan dunia. Kita perlu memiliki sesuatu yang jauh lebih baik dalam kita untuk membolehkan kita membuang hati yang mengasihi dunia. Pada suatu kali, terdapat pameran seni lukisan. Dalam pameran itu, banyak lukisan kelihatan cantik jika dipandang dari jauh, namun terdapat sebuah lukisan yang perlu diteliti secara dekat bagi memahami maksudnya. Lukisan ini mengiaskan pengalaman orang Kristian. Lukisan ini menunjukkan seorang kanak-kanak yang dikelilingi barang mainan di atas lantai. Akan tetapi, kanak-kanak itu langsung tidak mempedulikan barang mainan, sebaliknya matanya tertumpu pada tingkap di hadapannya, dan kedua-dua tangannya juga terhulur ke arah tingkap. Jika lukisan itu dipandang dari jauh, seseorang akan berasa pelik. Namun jika dia meneliti lukisan itu, dia akan mendapati di bingkai tingkap ada seekor burung merpati yang cantik. Keterangan bagi lukisan itu menjelaskan bahawa disebabkan kanak-kanak itu ingin mendapatkan burung merpati yang cantik, dia membuang semua barang mainannya. Iktibar daripada lukisan ini ialah seseorang hanya akan membuang yang kedua baik jika dia hendak mendapatkan yang paling baik. Tuhan tidak pernah meminta kita membuang apa-apa; Dia hanya meletakkan yang lebih baik itu, maka secara spontan kita akan membuang banyak perkara yang lain.

Terdapat seorang percayawan muda yang tinggal bersama dengan saya selama dua bulan. Dia mengatakan bahawa dia tidak dapat melepaskan dunia. Dia memberitahu seorang percayawan yang tua, “Kamu dapat berkorban kerana kamu telah menikmati kemewahan dunia. Akan tetapi, saya tidak dapat berbuat demikian.” Orang muda itu mengetahui apa itu percaya kepada Tuhan tetapi dia tidak mengetahui apa itu mengasihi Tuhan. Kepercayaan kita kepada Tuhan dapat menyelamatkan kita daripada dosa, namun hanya kasih kita kepada Tuhan yang membolehkan kita melepaskan dunia. Dikbang dan dikkak, kita harus membiarkan kasih Tuhan masuk ke dalam kita. Sebaik sahaja kasih Tuhan masuk, dunia akan terus hilang lenyap.

MENJADI KEKASIH TUAN YESUS YANG DILAMUN CINTA

Efesus 6:24 berkata, “Kurnia menyertai semua yang mengasihi Tuan kita Yesus Kristus dalam ketidakkorupan.” Kepada siapakah kurnia diberikan? Kurnia diberikan kepada semua yang mengasihi Tuan dalam ketidakkorupan. Jika orang bertanya kepada kamu, “Adakah kamu percaya kepada Tuan?” dan kamu menjawab, “Saya seorang yang mengasihi Tuan,” seluruh dunia akan berasa kagum.

Satu Petrus 1:8 berkata, “Meskipun kamu tidak pernah melihat-Nya, namun kamu mengasihi-Nya; meskipun kamu tidak dapat melihat-Nya pada masa sekarang, namun kerana percaya ke dalam-Nya, kamu bersorak riang dengan keriangan yang tidak terkata dan penuh kemuliaan.” Ayat ini mengatakan kita mengasihi-Nya kerana kita percaya ke dalam-Nya. Apakah yang terhasil daripada kasih menerusi kepercayaan ini? Hasilnya ialah keriangan, dan keriangan ini tidak terkata dan penuh kemuliaan.

Dikbang dan dikkak, akhir kata, saya ingin mengulangi kata-kata yang diucapkan orang tua itu kepada orang muda itu semasa dia meminta diri: “Semoga kamu menjadi kekasih Tuan Yesus yang dilamun cinta!” (Mengasihi Tuhan, m.s. 2-3, 10)

Bacaan Selanjutnya: Life-study of 1 John, mesej 20; Mengasihi Tuhan, bab 1; CWWN, jil.18, Love Not the World, bab 1, 7.

Comments are closed.