• Setia Melayan | Rapat Mengikut

    Sehati Sejiwa Berkoordinasi | Mengasuh Generasi Muda

Topik 2: Menyerahkan Segala Kekhuatiran Kita kepada Tuhan

1 Ptr. 5:7 Menyerahkan segala kekhuatiranmu kepada-Nya kerana Dia mengambil berat tentang kamu.

BELAJAR UNTUK MENYERAHKAN KEKHUATIRAN KITA KEPADA TUHAN

Satu Petrus 5:7 berkata, “Menyerahkan segala kekhuatiranmu kepada-Nya kerana Dia mengambil berat tentang kamu.” Perkataan Yunani untuk “kekhuatiran” juga bermaksud kerisauan atau kerunsingan. Penderitaan yang dialami oleh percayawan dalam penindasan menyebabkan mereka risau dan khuatir. Mereka bukan sahaja perlu dijadikan rendah diri, direndahkan daripada kesombongan mereka, keangkuhan mereka, tetapi juga perlu melemparkan kehidupan mereka bersama kerunsingannya kepada Tuhan; kerana Dia bukan sahaja perkasa dan adil, tetapi juga pengasih dan setia terhadap mereka.

Perkataan “menyerahkan” dalam ayat ini bermaksud melemparkan…ke atas; iaitu mengamanatkan…kepada, melepaskan…kepada. Kala kata kerja ini menunjukkan perbuatan yang sekali buat selama-lamanya. Frasa “segala kekhuatiranmu” menunjukkan bahawa semua kekhuatiran dalam seumur hidup kita, keseluruhan kehidupan kita bersama dengan kekhuatirannya, harus diserahkan kepada Tuan. Kita perlu belajar bagaimana melemparkan semua beban kekhuatiran kita kepada Tuhan. Beban kekhuatiran mungkin berada di bahu kita sekarang, tetapi kita harus menyerahkan beban daripada bahu kita kepada Tuhan.

Walaupun kala kata kerja “menyerahkan” menunjukkan perbuatan yang sekali buat selama-lamanya, namun disebabkan kita lemah, kita mungkin perlu menyerahkan kekhuatiran kita kepada Tuhan berkali-kali. Kadangkala kita menyerahkan kekhuatiran kita kepada-Nya, tetapi tidak lama kemudian kita mengambilnya kembali secara diam-diam. Inilah pengalaman saya. Saya mungkin menyerahkan kekhuatiran saya kepada Tuan. Akan tetapi, selepas beberapa hari saya mungkin sedar bahawa saya telah mengambil balik kekhuatiran ini kepada diri sendiri, maka saya perlu berdoa, “O Tuan, ampunilah aku kerana mengambil balik kekhuatiran ini daripada Engkau. Sekali lagi, aku menyerahkan kekhuatiranku kepada Engkau.”

KEKHUATIRAN BAGAIKAN KAPAL TERBANG YANG MENANTI-NANTIKAN PENDARATAN DI LAPANGAN TERBANG

Kita boleh menggunakan pendaratan kapal terbang di sebuah lapangan terbang yang sibuk sebagai ilustrasi bagi kekhuatiran yang menimpa kita. Jika kamu memerhatikan pendaratan kapal terbang, lazimnya kapal-kapal mendarat satu demi satu. Namun kadangkala, dua kapal terbang tiba pada masa yang sama, bahkan ada masanya sederet kapal terbang tiba pada masa yang sama. Kekhuatiran mungkin mengelilingi kita seperti sebuah kapal terbang yang mengedar di atas lapangan kapal terbang, menunggu masa untuk mendarat.

Orang yang mempunyai lingkungan hubungan yang rapat biasanya mempunyai lebih banyak kekhuatiran berbanding dengan mereka yang hidup berseorangan. Sebagai contoh, seorang dikbang yang belum berkahwin mungkin mempunyai kekhuatiran yang jauh kurang berbanding dengan seorang dikbang yang telah berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak. Prihatin dikbang yang berkahwin terhadap isteri dan anaknya menyebabkan dia khuatir. Pertama-tamanya, isterinya menjadi punca kekhuatiran. Kemudian punca kekhuatiran bertambah apabila setiap orang anak dilahirkan. Punca-punca kekhuatiran mungkin bertambah apabila anak-anak membesar, berkahwin, dan mempunyai anak-anak mereka sendiri, dan kemudian cucu menjadi satu lagi punca kekhuatiran.

Daripada pengalaman, saya boleh bersaksi bahawa semakin banyak benda yang saya miliki, semakin bertambahlah kekhuatiran saya, iaitu semakin banyak “kapal terbang” kekhuatiran mengedar di atas kepala saya.

Kita semua perlu belajar menyerahkan segala kekhuatiran kita kepada Tuan. Jika kita tidak menyerahkan kekhuatiran kita kepada-Nya, kita tidak akan ada damai sejahtera. Kanak-kanak yang berumur empat tahun ke bawah mungkin tidak mempunyai kekhuatiran. Akan tetapi, apabila kita kian berusia, kekhuatiran kita kian bertambah, ini kerana semakin banyak kapal terbang kekhuatiran menanti-nantikan untuk mendarat di “lapangan terbang” kita. Apakah yang harus kita lakukan pada waktu itu? Walaupun ini tidak mudah, kita perlu menyerahkan kekhuatiran kita kepada Tuan. Jika kita mendapati bahawa kita telah mengambil balik kekhuatiran yang kita berikan kepada Tuan, kita harus menyerahkan kekhuatiran kepada-Nya semula.

TUHAN MEMPERHATIKAN PERCAYAWAN DENGAN PENUH KASIH SAYANG, TERUTAMANYA MEREKA YANG DITINDAS

Satu Petrus 5:7 mengatakan bahawa kita boleh menyerahkan segala kekhuatiran kita kepada Tuan kerana “Dia mengambil berat” tentang kita. “Mengambil berat” di sini bererti berprihatin. Tuhan yang mendisiplinkan dan menghakimi itu memperhatikan percayawan dengan penuh kasih sayang, terutamanya mereka yang ditindas. Dia menjaga mereka dengan setia. Mereka boleh melemparkan kerunsingan kepada-Nya, terutamanya semasa mereka mengalami penindasan. (Life-study of 1 Peter, m.s. 301-303)

Bacaan Selanjutnya: Life-Study of 1 Peter, mesej 33; CWWN, jil.18, Isu No.30, In Nothing Be Anxious.

Comments are closed.