• Setia Melayan | Rapat Mengikut

    Sehati Sejiwa Berkoordinasi | Mengasuh Generasi Muda

Topik 3: Kebuntuan Manusia ialah Permulaan Tuhan

Flp. 2:12 Oleh itu, yang kukasihi, sebagaimana kamu sentiasa patuh, bukan sahaja semasa aku hadir tetapi sekarang lebih-lebih lagi semasa aku tidak hadir, kerja hasilkan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar; Flp. 2:13 Kerana Tuhanlah yang beroperasi dalam kamu supaya kamu berazam dan bekerja untuk kegirangan-Nya.

Di atas dasar kebangkitan, Paulus dapat berkata, “Kerja hasilkan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar; kerana Tuhanlah yang beroperasi dalam kamu supaya kamu berazam dan bekerja untuk kegirangan-Nya” (Flp. 2:12-13).

TIDAK LAGI MELAKSANAKAN KEHENDAK TUHAN MENERUSI DIRI KITA SENDIRI

Filipi 2:12-13 mengatakan bahawa Tuhanlah yang beroperasi dalam kamu. Justeru, bebas daripada hukum bukan bermaksud kita tidak perlu melaksanakan kehendak Tuhan. Bebas daripada hukum tentu juga bukan bermaksud kita tidak lagi perlu mengendahkan hukum. Sama sekali tidak! Sebaliknya, bebas daripada hukum bermaksud kita tidak lagi melaksanakan kehendak Tuhan menerusi diri kita sendiri. Oleh sebab kita benar-benar sedar bahawa kita tidak berupaya melaksanakan kehendak Tuhan, maka kita tidak lagi bergantung pada manusia lama untuk diperkenan Tuhan. Oleh sebab kita sudah berputus asa sepenuhnya terhadap diri kita, malah kita tidak lagi cuba untuk mendapat perkenan Tuhan, maka kita tidak lagi cuba untuk mendapat perkenan Tuhan. Dengan itu, kita bersandar pada Tuan untuk memanifeskan hayat kebangkitan-Nya dalam kita.

Izinkan saya menerangkan perkara ini dengan apa yang saya lihat di kampung saya. Di negara China, ada kuli yang dapat mengangkut garam seberat 120 kilogram, malah ada yang dapat mengangkut garam seberat 250 kilogram. Sekarang, ada seorang lelaki yang hanya mampu mengangkut 120 kilogram, dan di sini ada garam seberat 250 kilogram. Lelaki ini tahu bahawa dia tidak mampu mengangkutnya, dan jika dia bijak, dia akan berkata, “Saya tidak akan menyentuhnya!” Namun demikian, dalam sifat manusia terdapat sejenis godaan untuk mencuba; oleh itu, meskipun dia tidak mampu mengangkutnya, dia tetap mahu mencuba. Ketika saya kecil, saya suka melihat sepuluh atau dua puluh orang yang sedemikian datang mencuba; meskipun mereka menyedari bahawa mereka tidak mampu mengangkutnya, mereka tetap mahu mencuba. Akhirnya, mereka mengalah dan membiarkan orang yang mampu itu mengangkutnya.

AKU TIDAK AKAN MELAKUKANNYA;
AKU BERSANDAR PADA TUAN UNTUK MELAKUKANNYA BAGIKU

Lebih cepat kita mengalah, lebih baik, kerana jika kita memonopoli kerja itu, Roh Kudus tidak ada peluang untuk bekerja. Jika kita berkata, “Aku tidak akan melakukannya; aku bersandar pada Engkau untuk melakukannya bagiku,” maka kita akan mendapati bahawa terdapat suatu kudrat yang lebih kuat daripada diri kita yang akan membawa kita mengharungi situasi itu.

Pada tahun 1923, saya bertemu dengan seorang penginjil yang terkemuka dari Kanada. Pada hari tersebut, saya memberi mesej berkenaan kata-kata yang saya bicarakan di atas. Kemudian, ketika kami berjalan balik ke rumahnya, dia berkata, “Hari ini jarang-jarang kedengaran orang membicarakan Roma 7; bagus sekali saya dapat mendengarnya sekali lagi. Pada hari saya melihat bahawa saya telah bebas daripada hukum, hari itu saya merasakan diri saya berada di bumi bagaikan di syurga. Setelah banyak tahun menjadi orang Kristian, saya masih berusaha sedaya upaya untuk mendapat perkenan Tuhan. Akan tetapi, semakin saya berusaha, semakin gagal. Saya menganggap Tuhan sebagai Peminta yang terbesar di alam semesta, tetapi saya mendapati bahawa saya tidak terdaya untuk memenuhinya biarpun tuntutan-Nya yang terkecil. Pada suatu hari, ketika saya membaca Roma 7, cahaya menyinari saya, dan saya melihat bahawa Tuan bukan sahaja telah menyelamatkan saya daripada dosa, malah Dia juga telah membebaskan saya daripada hukum. Saya begitu tertakjub sekali sehingga saya melonjak dan berkata, ‘O Tuan, benarkah Engkau tidak lagi mengenakan tuntutan ke atas aku? Maka aku tidak perlu melakukan apa-apa lagi untuk-Mu!’” 

DIALAH PEMBERI HUKUM DI ATAS TAKHTA, DAN DIALAH PEMATUH HUKUM DALAM HATI SAYA

Tuntutan Tuhan tidak pernah berubah, tetapi kita bukan lagi orang yang perlu memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut. Puji Tuhan, Dialah Pemberi hukum di atas takhta, dan Dialah Pematuh hukum dalam hati saya. Dia memberi hukum dan Dia sendiri yang mematuhinya. Dia membuat tuntutan tetapi Dia jugalah yang memenuhi tuntutan itu. Apabila rakan saya melihat bahawa dia tidak perlu melakukan apa-apa lagi, dia melonjak dan menjerit; begitu juga, semua yang melihat perkara ini turut akan menjerit. Selagi kita masih berusaha melakukan sesuatu dengan sendiri, Dia tidak dapat membuat apa-apa. Disebabkan kita asyik cuba melakukannya dengan sendiri, maka kita gagal dan gagal lagi. Tuhan ingin menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak dapat membuat apa-apa. Oleh itu, sebelum kita mengaku hal ini dengan sepenuhnya, kekecewaan dan kehampaan kita tidak akan berhenti.

TUAN, AKU TIDAK MAMPU MELAKUKAN APA-APA UNTUK ENGKAU, TETAPI AKU BERSANDAR PADA ENGKAU UNTUK MELAKUKAN SETIAP HAL DALAM AKU

Ada seorang dikbang yang cuba bergelut untuk jayeng; dia berkata kepada saya, “Saya tidak tahu mengapa saya begitu lemah.” Saya berkata, “Masalah kamu ialah kamu lemah sehingga tidak dapat melaksanakan kehendak Tuhan, tetapi kamu belum begitu lemah sehingga kamu tidak mampu membuat apa-apa. Oleh itu, kamu belum cukup lemah. Apabila kamu disusutkan sehingga menjadi betul-betul lemah dan diyakinkan bahawa kamu tidak mampu melakukan apa-apa, pada masa itulah Tuhan akan mula melakukan segala-galanya.” Kita semua perlu dibawa ke suatu tahap sehinggakan kita berkata, “Tuan, aku tidak mampu melakukan apa-apa untuk Engkau, tetapi aku bersandar pada Engkau untuk melakukan setiap hal dalam aku.”

Saya pernah tinggal bersama dengan lebih daripada dua puluh orang dikbang di negara China. Di tempat kami tinggal tidak ada kemudahan mandi yang mencukupi, maka setiap hari kami mandi di sungai. Pada suatu kali seorang dikbang kekejangan otot kaki, dan tiba-tiba saya nampak dia tenggelam dengan cepat. Justeru, saya melambai kepada seorang dikbang yang pandai berenang supaya cepat pergi menyelamatkannya. Akan tetapi, saya amat terkejut apabila melihat dikbang tersebut tidak mengambil tindakan. Saya semakin cemas lalu menjerit, “Tidakkah kamu nampak dia sudah hampir mati lemas?” Dikbang-dikbang lain juga cemas seperti saya dan menjerit kepadanya. Namun, dikbang yang pandai berenang itu masih tidak bergerak. Dengan tenang dan menumpukan sepenuh perhatian, dia berdiri di tempat asalnya, seolah-olah sedang menangguhkan tugas yang tidak dialu-alukan itu. Pada masa yang sama, suara dikbang yang hampir mati lemas itu kian lemah, dan tenaganya kian berkurangan. Saya berkata dalam hati, “Benci betul orang ini! Sampai hati dia melihat seorang dikbang mati lemas dan tidak menyelamatkannya!”

Walau bagaimanapun, ketika orang itu betul-betul sedang tenggelam, dikbang yang pandai berenang itu berenang ke arahnya dengan pantas, dan akhirnya mereka berdua selamat sampai ke tebing. Selepas itu, apabila saya berpeluang untuk memberi pendapat saya, saya berkata kepadanya, “Saya tidak pernah melihat orang Kristian yang begitu menyayangi nyawa sendiri seperti kamu. Cuba fikirkan, jika kamu kurang memikirkan diri kamu dan lebih memikirkan dikbang itu, dia tidak perlu begitu menderita!” Akan tetapi, dikbang yang pandai berenang itu lebih jelas tentang apa yang berlaku. Dia berkata, “Jika saya pergi lebih awal, dia akan mencengkam saya dengan sekuat-kuatnya, maka kami berdua akan tenggelam. Seseorang yang hampir mati lemas tidak boleh diselamatkan sebelum dia kehabisan semua tenaganya dan langsung tidak terdaya untuk menyelamatkan diri.”

APABILA KITA BENAR-BENAR MELEPASKAN SESUATU PERKARA, BARULAH TUHAN MENGAMBILNYA

Adakah kamu faham sekarang? Apabila kita benar-benar melepaskan sesuatu perkara, barulah Tuhan mengambilnya. Dia akan menunggu sehingga kita sudah kehabisan daya dan tidak dapat membuat apa-apa lagi untuk diri kita, barulah Dia akan mula membuat sesuatu. Tuhan telah mengutuk segala-gala yang kepunyaan ciptaan lama dan menyerahkan semuanya kepada Salib. Justeru, daging tidak memanfaatkan apa-apa. Tuhan telah mengisytiharkan bahawa kita hanya layak untuk mati. Jika kita benar-benar mempercayai perisytiharan Tuhan, kita harus mengesahkan keputusan penghakiman Tuhan dengan tindakan, iaitu melepaskan segala usaha kepunyaan tubuh daging untuk mendapat perkenan Tuhan. (Kehidupan Orang Kristian yang Normal, m.s. 137-140)

Bacaan Selanjutnya: Kehidupan Orang Kristian Yang Normal, bab 9.

Comments are closed.