• Setia Melayan | Rapat Mengikut

    Sehati Sejiwa Berkoordinasi | Mengasuh Generasi Muda

Topik 7: Perasaan Hayat

Ef. 4:19 Orang sedemikian, disebabkan tidak lagi berperasaan, telah menyerahkan diri mereka kepada kegasangan untuk mengerjakan segala kecemaran dalam ketamakan.

Roma 8:6 Kerana minda diletakkan pada tubuh daging ialah maut, tetapi minda diletakkan pada roh ialah hayat dan damai sejahtera.

Apabila kita percaya ke dalam Kristus dan bersatu dengan-Nya dalam hayat, hayat-Nya di dalam kita menghasilkan satu perasaan hayat. Kita mesti memberi perhatian dan patuh kepadanya dalam kehidupan rohani kita, yakni kita yang bersatu dengan-Nya, yang menjadi satu roh dengan-Nya, dan mengalami-Nya. (Pelajaran Hayat, jil. 3, pel. 32).

PERASAAN MAUT

Perasaan hayat dari aspek negatif bagi ialah perasaan maut, sejenis perasaan yang negatif. Hal ini diwahikan dengan jelas dalam Roma 8:6. Kita harus sedar bahawa Roma 8:6 sama sekali merupakan ayat yang membicarakan perasaan kerana ayat ini mengatakan minda diletakkan pada tubuh daging ialah maut. Hal ini bukan sekadar satu kenyataan, tetapi juga berkenaan perasaan, kesedaran. Apabila kamu meletakkan minda kamu pada tubuh daging, kamu mempunyai perasaan maut. Kamu merasakan kehadiran maut di situ.

Perasaan maut ialah perasaan dalaman yang lemah, kosong, tidak selesa, resah tertekan, kering, gelap, derita, dan sebagainya (Roma 8:6a). Apabila kamu merasakan bahawa diri kamu lemah, kosong, tidak selesa, resah, tertekan, kering, gelap, dan derita di dalam, ini menunjukkan bahawa maut hadir. Apabila maut hadir, ini bermaksud bahawa kamu meletakkan minda kamu pada tubuh daging. Meletakkan minda pada tubuh daging bererti hidup dalam tubuh daging. Minda ialah kunci kehidupan harian kita. Kunci membuka pintu supaya kita dapat bergerak di jalan. Meletakkan minda pada tubuh daging bererti membuka pintu tubuh daging dan bergerak-hidup dengan cara bersifat daging. Oleh itu, apabila kamu merasakan kehadiran maut, kamu harus sedar bahawa kamu sedang hidup, bergerak hidup dalam tubuh daging. Ini merupakan fungsi negatif bagi perasaan hayat.

PERASAAN HAYAT DAN DAMAI SEJAHTERA

Dari aspek positif, perasaan hayat berfungsi untuk memberi kita kesedaran terhadap hal-hal positif yang berikut—kuat, puas, damai sejahtera, rehat, bebas, cergas, diairi, terang, selesa, dan sebagainya (Roma 8:6b). Kita tidak lemah, sebaliknya kuat. Kita tidak berasa kosong sebaliknya berasa puas. Kita tidak ada perasaan tidak selesa atau resah sebaliknya mempunyai damai sejahtera dan rehat. Kita tidak tertekan sebaliknya bebas dan cergas. Kecergasan merupakan keadaan yang hidup. Kita berasa diairi berlawanan dengan kering, terang berlawanan dengan gelap, dan selesa berlawanan dengan derita. Semua ini merupakan perasaan positif yang diperoleh daripada fungsi perasaan hayat. Apabila kita mempunyai perasaan ini, kita harus sedar bahawa ini adalah operasi perasaan hayat.

Oleh itu dalam Roma 8:6, perkara utama diimplikasikan ialah perasaan hayat. Meletakkan minda pada roh ialah hayat dan damai sejahtera. Perkara ini sama sekali perkara berkenaan perasaan dan kesedaran. Kesedaran ini ialah perasaan hayat. Kesedaran ini bukan sahaja berfungsi untuk memimpin kita tetapi juga mengawal kita, menguasai kita, dan membimbing kita. Perasaan maut dan perasaan hayat serta damai sejahtera merupakan dua aspek bagi makna perasaan hayat.

BERKAITAN DENGAN KESEDARAN ZIMAH

Sama ada dari aspek negatif atau aspek positif, perasaan hayat sentiasa berkaitan dengan kesedaran zimah. Efesus 4:19 mengatakan bahawa orang yang tidak percaya “tidak lagi berperasaan”. “Perasaan” di sini merujuk terutamanya kepada kesedaran zimah seseorang. Orang yang tidak percaya secara umumnya tidak mengambil berat tentang perasaan zimah mereka. Orang yang paling tidak mengendahkan perasaan dalaman mereka ialah orang yang paling berdosa. Orang yang tidak percaya yang berusaha menjadi orang baik sudah pasti akan mengambil berat terhadap perasaan dalaman mereka. Sekadar dikawal oleh undang-undang dan polis masih belum mencapai standard moral. Bahkan, bagi orang yang tidak percaya, standard moral mereka haruslah menurut perasaan dalaman zimah mereka. Bagi seorang percayawan, sudah tentu perasaan hayat bukan sekadar soal zimah, tetapi berkaitan dengan kesedaran zimah yang menurut perasaan hayat, iaitu hayat Tuhan.

FUNGSI PERASAAN HAYAT

Memberitahu Kita Sama Ada Kita Hidup dalam Hayat Alamiah atau dalam Hayat Divin

Jika kita hidup dalam hayat alamiah, perasaannya adalah daripada maut dan sama sekali negatif. Dengan demikian, kita mempunyai perasaan maut berserta segala butirnya yang negatif. Jika kita hidup dalam hayat divin, perasaannya adalah daripada hayat dan sama sekali positif. Dengan demikian kita mempunyai perasaan hayat dan damai sejahtera berserta segala butirnya yang positif. Perasaan hayat memberitahu kita sama ada kita hidup dalam hayat alamiah atau dalam hayat divin. Perasaan hayat membimbing kita, mengawal kita, menguasai kita, dan mengarahkan kita. Kebenaran ini sama sekali hilang dalam Kristianiti hari ini. Kebanyakan daripada ajaran Kristian hari ini berpusat pada moral dan kelakuan baik. Mereka tidak mengambil berat tentang perasaan hayat dalaman yang memberitahu kita sama ada kita hidup dalam hayat alamiah ataupun hayat divin. Memandangkan kita mencari Kristus untuk menjadi hayat kita, kita harus mengambil berat tentang perasaan hayat ini. Jika kita tidak mempunyai perasaan positif yang kuat, puas, damai sejahtera, rehat, bebas, cergas, diairi, terang, selesa, dan sebagainya, kita harus sedar bahawa kita tidak hidup dalam hayat divin; kita sememangnya hidup dalam hayat alamiah.

Memberitahu Kita Sama Ada Kita Hidup dalam Tubuh Daging atau dalam Roh

Fungsi perasaan hayat juga memberitahu kita sama ada kita hidup dalam tubuh daging atau dalam roh. Hidup dalam hayat alamiah ialah satu perkara, dan hidup dalam tubuh daging ialah perkara yang lain. Kamu mungkin menganggap kedua-dua ini sama, tetapi kedua-duanya masih ada sedikit perbezaannya. Tubuh daging selalunya jahat kerana tidak ada tubuh daging yang baik. Akan tetapi, kadangkala hayat alamiah adalah baik. Hayat alamiah berlawanan dengan hayat divin, tubuh daging berlawanan dengan roh.

Oleh itu, terdapat dua aspek berkenaan fungsi perasaan hayat. Aspek pertama memberitahu kamu sama ada kamu hidup dalam hayat divin atau tidak, dan aspek kedua memberitahu kamu sama ada kamu hidup dalam roh atau tidak. Dari segi negatif, perasaan hayat memberitahu kamu sama ada kamu hidup dalam hayat alamiah, yakni hidup sebagai orang yang alamiah, dan juga memberitahu kamu sama ada kamu hidup dalam tubuh daging atau tidak. Dalam pengalaman selalunya kita dapat membezakan kedua-dua ini. Sering kali kita mempunyai perasaan bahawa kita hidup, bergerak-hidup, dan bertindak dalam tubuh daging. Namun adakalanya kita tidak bersifat daging, tetapi kita masih mempunyai perasaan bahawa kita bergerak-hidup dalam hayat alamiah kita, dalam manusia alamiah kita, tidak hidup dalam hayat divin.

Kita perlu banyak berdoa untuk memasuki butir-butir ini. Pelajaran ini seharusnya bukan sahaja doktrin pengetahuan yang menurut huruf. Pelajaran ini seharusnya sesuatu tentang hayat daripada pengalaman kita. Kita perlu banyak berdoa untuk mendoakan diri kita ke dalam perasaan hayat. Dengan itu kita dapat menyampaikan pembicaraan yang bukan sahaja satu ajaran, tetapi satu persekutuan secara praktikal. Mesej kita akan menjadi sejenis persekutuan, yang memberitahu orang bagaimana kita mengalami semua perkara ini, bagaimana perasaan hayat adalah begitu benar dan praktikal bagi kita, dan bagaimana kita berada di bawah unsur yang mengawal, memimpin, dan menguasai ini dalam kita hari demi hari. (Pelajaran Asas tentang Hayat, m.s. 90-92, 94-96).

Bacaan Selanjutnya: Pelajaran Hayat, jil. 3, pel. 32; Pelajaran Asas tentang Hayat, bab 11.

Comments are closed.