Mat. 18:20 Kerana di mana dua atau tiga orang dihimpunkan ke dalam nama-Ku, di situlah Aku di tengah-tengah mereka.
KETETAPAN TUHAN TERHADAP PERCAYAWAN
Tuhan telah menetapkan cara kewujudan segala benda hidup dalam alam semesta ini. Ketetapan Tuhan ini merupakan hukum kehidupan bagi spesies tertentu. Jika benda hidup memenuhi hukum tersebut, maka dapatlah benda hidup itu terus hidup dan diberkati. Begitu juga, Tuhan mempunyai ketetapan terhadap kita yang telah percaya kepada Kristus. Perhimpunan ialah ketetapan Tuhan terhadap kita yang menjadi hukum untuk kita terus wujud dan diberkati. Perhimpunan penting bagi orang Kristian sama seperti air penting bagi ikan dan udara penting bagi burung. Sebagaimana ikan perlu hidup di dalam air dan burung perlu hidup di udara, begitu juga orang Kristian perlu berhimpun agar kewujudan dan kehidupan rohani mereka terpelihara.
TUNTUTAN DARIPADA HAYAT ROHANI
Setiap jenis hayat mempunyai ciri yang tersendiri, dan biasanya ciri-ciri ini adalah beraneka ragam. Hayat rohani yang kita percayawan terima, yakni hayat Tuhan dalam kita, juga memiliki ciri yang beraneka ragam. Contohnya, benci akan dosa dan menjauhi dosa ialah ciri hayat ini. Suka mendampingi Tuhan dan rela melayan Tuhan juga merupakan ciri hayat ini. Antara ciri-ciri yang terdapat dalam hayat rohani kita, salah satu daripadanya ialah berkawanan, berhimpun bersama-sama.
Yohanes 10:3 dan 16 menunjukkan kepada kita bahawa setelah kita diselamatkan, kita menjadi domba Tuan. Ciri hayat domba ialah berkawanan; domba tidak suka meninggalkan kawanan dan hidup bersendirian. Oleh itu, Bible mengatakan bahawa kita bukan sahaja domba Tuan, malah kita kawanan-Nya (Kis. 20:28; 1 Ptr. 5:2). Jika kita hendak menjadi seekor domba yang sama-sama menikmati berkat dalam kawanan domba, kita harus berhimpun dengan kawanan domba. Ciri “hayat domba” rohani dalam kita menuntut kita berbuat demikian.
KEPENTINGAN PERHIMPUNAN PERCAYAWAN
Dalam Matius 18:20, Tuan khususnya berjanji kepada kita yang kepunyaan-Nya bahawa di mana dua atau tiga orang dihimpunkan ke dalam nama-Nya, yakni berhimpun dalam nama-Nya, maka di situlah Dia di tengah-tengah kita. Ketika kita berhimpun dalam nama-Nya, kita menikmati hadirat-Nya yang khusus. Sudah pasti hadirat-Nya membawa pencahayaan, kurnia, bekalan, dan segala jenis berkat kepada kita.
Apa yang disebut dalam Ibrani 10:24-25 menunjukkan kepada kita bahawa perhimpunan membolehkan kita saling memperhati agar kita saling mendorong untuk kasih dan saling menasihati untuk kerja baik. Hal ini membolehkan kita mempunyai persekutuan rohani dengan pekudus untuk menerima bekalan hayat daripada mereka. Oleh itu, janganlah kita abaikan perhimpunan dan lebih-lebih lagi apabila kita tahu bahawa Tuan akan kembali tidak lama lagi. Hayat kita seperti hayat domba yang menuntut kita berkumpul dan menjalani kehidupan perhimpunan. Oleh yang demikian, kita perlu berhimpun; perhimpunan amat penting bagi kita.
PELBAGAI JENIS PERHIMPUNAN PERCAYAWAN
Perhimpunan Pemecahan Roti
Memecahkan roti bererti makan perjamuan malam Tuan, memperingati Tuan yang telah mati untuk kita (1 Kor. 11:20, 23-25). Bagi kita yang telah ditebus melalui kematian Tuan, perhimpunan ini seharusnya perhimpunan yang kita hadiri secara tetap (Kis. 20:7). Perhimpunan pemecahan roti bukan untuk apa-apa yang lain tetapi untuk memperingati Tuan yang merupakan pusat agar Tuan beroleh kenikmatan. Setiap perkara dalam perhimpunan ini, baik nyanyian kidung, doa, pembacaan Bible, atau kata-kata ilham, harus berpusatkan Tuan. Kita harus berbicara tentang persona dan kerja-Nya, kasih dan virtu-Nya, kehidupan atau penderitaan-Nya di atas bumi, serta penghormatan dan kemuliaan-Nya di syurga, supaya orang teringat akan semua ini atau menyedari semua ini dan memperingati Tuan sendiri.
Perhimpunan Doa
Dalam Matius 18:18-20, Tuan berbicara berkenaan doa dalam suatu perhimpunan. Doa jenis ini lebih berkudrat daripada doa peribadi; doa jenis ini boleh mengikat apa-apa sahaja di bumi yang sudah diikat di syurga, dan melepaskan apa-apa sahaja di bumi yang sudah dilepaskan di syurga.
Perhimpunan yang Menggunakan Berian Rohani dan Saling Membina
Perhimpunan yang disebut dalam 1 Korintus 14:26 ialah perhimpunan yang menggunakan berian rohani dan saling membina. Dalam perhimpunan jenis ini, tidak ada orang yang dikhususkan untuk melakukan perkara yang tertentu, tetapi setiap orang menggunakan berian rohani mereka; seorang mempunyai mazmur, seorang lagi mempunyai ajaran, dan seorang pula mempunyai wahi, ada yang berbuat ini dan ada lagi yang berbuat itu. Setiap orang boleh mengambil bahagian dengan matlamat membina dan mendidik-bina orang lain.
Perhimpunan Membaca Bible
Dalam Kisah Para Dutus 15:30-31, ketika Paulus dan teman-temannya tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan para pekudus untuk membaca surat yang ditulis oleh dutus dan penatua di Yerusalem di bawah pimpinan Roh Kudus. Oleh itu, kadangkala kita juga perlu berhimpun untuk membaca sabda Tuhan dalam Bible.
Perhimpunan Mendengar Mesej
Dalam Kisah Para Dutus 20:7, percayawan di Troas berhimpun untuk mendengar pembicaraan Paulus kepada mereka berkenaan hal-hal rohani Tuhan supaya mereka dapat dididik-bina dan diperteguh. Oleh itu, kadangkala kita harus juga berhimpun untuk mendengar mesej-mesej rohani yang dibicarakan untuk Tuhan oleh minister sabda Tuan, supaya kita dapat dididik-bina dan diperteguh. (Pelajaran Hayat, m.s. 15-17, 20-22, 27 )
Bacaan Selanjutnya: Pelajaran Hayat, pel. 14-16.