• Setia Melayan | Rapat Mengikut

    Sehati Sejiwa Berkoordinasi | Mengasuh Generasi Muda

Topik 7: Kristus ialah Roh

1 Kor. 15:45 Adam terakhir telah menjadi Roh beri-hayat.

2 Kor. 3:17 Dan Tuan ialah Roh itu; di mana sahaja Roh Tuan, di situlah kebebasan.

Yesus Kristus ialah Anak Tuhan dan Penyelamat manusia sejagat. Dia datang ke dunia hampir dua ribu tahun yang lalu dan hidup di bumi sebagai seorang manusia yang sejati. Kehidupan-Nya ialah kehidupan manusia yang sempurna yang memaparkan standard moraliti yang tertinggi. Selepas tiga puluh tiga tahun setengah kehidupan insani yang tanpa dosa, Dia disalibkan untuk menghapuskan semua dosa manusia (Yoh. 1:29). Dalam buku kecil ini, kita akan melihat apa yang berlaku selepas Dia menyempurnakan kerja salib untuk menebus manusia sejagat.

KRISTUS TERBANGKIT IALAH ROH, DAN HIDUP DI DALAM ROH KITA

Kristus masuk ke dalam kematian selama tiga hari, tetapi Dia tidak kekal berada di situ. Pada hari ketiga, Dia bangkit secara rohani dan secara fizikal (1 Kor. 15:3-4). Banyak orang yang mempersaksikan kebangkitan-Nya, yang melihat dan berbual serta berjalan-jalan dengan-Nya, menjadi kesaksian kepada fakta sejarah yang kekal tidak tergoyah sepanjang dua ribu tahun yang lalu (1 Kor. 15:5-7). Socrates sudah mati; Napoleon sudah mati; Alexander Agung sudah mati; Karl Marx sudah mati; dan Mohammed, Buddha, serta Confucius semuanya sudah mati. Akan tetapi, Yesus Kristus masih hidup! Kubur-Nya kubur yang kosong, dan Dia hidup dalam roh berjuta-juga orang hari ini.

Cara terbaik untuk memahami Roh ialah melalui ilustrasi. Pertimbangkanlah udara di sekitar kamu. Udara wujud di mana-mana sahaja dan tersedia untuk setiap orang. Sama ada kamu berada di Timur atau di Barat, dalam bilik tertutup atau di pasar, udara sentiasa bersama dengan kamu. Bible membandingkan Roh dengan udara. Sebenarnya, perkataan untuk Roh dalam bahasa Yunani ialah pneuma, yang boleh juga diterjemahkan sebagai “nafas” atau “angin”. Pada malam kebangkitan Tuan, Dia datang kepada disipal-disipal-Nya dan melakukan sesuatu yang agak aneh kepada mereka: Dia menghembus ke dalam mereka dan berkata, “Terimalah Roh Kudus” (Yoh. 20:22). Nafas divin yang dihembuskan-Nya ke dalam para disipal ialah diri-Nya dalam kebangkitan sebagai Roh beri-hayat.

ROH ITU MENJADIKAN HAYAT KITA BERMAKNA DAN LENGKAP

Semasa Kristus hidup di bumi, Dia bukannya sedia ada sepenuhnya bagi para disipal. Ketika Dia berada di Galilea, Dia tidak dapat berada di Yerusalem. Dia dihadkan oleh masa dan ruang. Dia tidak dapat bersama dengan semua orang pada setiap masa.

Menerusi Roh itu, kita beroleh kasih, cahaya, kebenaran, keriangan, dan segala atribut Tuhan. Jika kita tidak mempunyai Roh itu dalam kita, hayat kita akan penuh dengan kegelapan, kelemahan, dan kesesakan nafas. Akan tetapi, Roh itu menerapkan Tuhan Tritunggal pada kita dan menjadikan hayat kita bermakna dan lengkap.

Tidak ada apa-apa yang lebih mudah daripada bernafas. Seseorang mungkin tidak memahami banyak misteri yang mendalam, namun asalkan dia seorang manusia, dia dapat bernafas. Bernafas ialah keupayaan yang paling universal; mana-mana makhluk hidup pun boleh bernafas. Kristus telah menjadikan diri-Nya sedia ada selalu agar setiap orang dapat menerima-Nya dan mengalami-nya. Manusia adalah seperti tayar, manakala Roh itu adalah seperti udara. Banyak orang hidup dengan “tayar kempis” dalam kehidupan mereka; mereka berasa tertekan dan mereka melangkah berat sepanjang perjalanan hidup. Apa yang kita perlukan ialah udara syurgawi—Roh beri-hayat Kristus. Apabila kita memiliki-Nya, perjalanan kita akan lancar, dan kita akan dipenuhi pneuma syurgawi!

DENGAN MENYERU NAMA TUAN, KITA DAPAT MENGALAMI SEGALA APANYA TUHAN

Apabila seseorang percaya kepada Tuan Yesus, Roh itu masuk ke dalam orang ini dan hidup dalamnya. Dua Timotius 4:22 mengatakan bahawa Tuan Yesus Kristus bersama dengan roh kita. Kita tidak perlu pergi ke syurga untuk mencari Tuhan, dan kita tidak perlu menziarahi tempat suci di bumi untuk menyentuh-Nya. Tempat yang paling kudus kini berada dalam roh kita. Bekalan elektrik dipasang di dalam sebuah rumah; apa yang perlu dilakukan seseorang itu ialah membuka suis. Hari ini, Roh itu sudah “dipasang” dalam alam semesta ini—Kristus telah menyempurnakan segala kerja, dan sebagai Roh beri-hayat, Dia kini berada di mana-mana sahaja. Apabila kita menyeru nama Tuan, roh kita “dibuka”, dan kita dapat mengalami segala apanya Tuhan.

Kita boleh menjelaskan misteri Roh itu dengan satu lagi gambaran. Pada suatu hari semasa musim panas, saya membeli sebiji tembikai dari pasar. Tembikai itu amat besar sampai saya banyak berpeluh untuk membawanya pulang. Niat saya ialah makan dan mencernakan tembikai itu. Untuk berbuat demikian, mula-mulanya saya perlu memotong tembikai itu menjadi kepingan. Untuk memudahkan saya menerima tembikai itu, saya pun memerah kepingan tembikai itu menjadi jus tembikai. Setelah menjadi jus tembikai, tembikai besar itu telah menjadi kenikmatan saya. Pada asalnya, Tuhan berada di syurga. Dia boleh digambarkan dengan tembikai besar yang belum dipotong. Pada suatu hari, Dia telah menjadi seorang manusia dan disalibkan. Menerusi penyaliban-Nya, Dia telah “dipotong menjadi kepingan”. Akan tetapi, proses itu tidak berhenti di sini; selepas Dia mati, Dia bangkit dan ditransform menjadi bentuk Roh. Ini adalah seperti memerah kepingan tembikai menjadi jus tembikai. Roh itu adalah seperti jus tembikai. Menerusi proses ini, Tuhan menjadi mudah bagi kita hubungi. Hari ini, Tuhan yang kita sembah bukan Tuhan yang “tidak dipotong”. Dia ialah Tuhan yang “terproses”. Dengan kata lain, Dia telah melalui satu proses untuk menjadi Roh beri-hayat. Sekarang kita tidak perlu lagi berpeluh dan bergelut untuk mencapai-Nya; Dia menjadi begitu mudah untuk kita nikmati dan hubungi.

SEKARANG KITA DAPAT MINUM ROH ITU SECARA PERCUMA

Dalam Injil Yohanes, pada hari terakhir perayaan agama yang terbesar, Kristus berdiri dan mengatakan bahawa jika sesiapa haus, dia boleh datang kepada-Nya dan minum. Kemudian Kristus berkata, “Dia yang percaya ke dalam Aku, sebagaimana yang dikatakan dalam Kitab, dari diri dalamannya akan mengalir sungai-sungai air hidup” (Yoh. 7:37-38). Di sini, Roh itu disamakan dengan “sungai-sungai air hidup”. Air hidup ini belum lagi ketika Kristus membicarakan kata-kata ini, kerana Dia belum lagi diproses menerusi kematian dan kebangkitan-Nya. Akan tetapi, selepas kematian dan kebangkitan-Nya, proses itu sudah lengkap, dan hari ini Roh itu sebagai air hidup ada di sini. Sekarang kita dapat minum Roh itu secara percuma. Air hidup ini menghilangkan kehausan dalaman kita dengan sepenuhnya. (Kristus ialah Roh dan Hayat, m.s. 1-2, 4-9).

Bacaan Selanjutnya: Kristus ialah Roh dan Hayat; Kepercayaan Orang Kristian yang Normal—Kristus dan Orang Kristian, bab 3; Five Great Mysteries in the Bible, bab 3-4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *